Sumbangan Sains & Teknologi Bani Umayyah



          Pengaliran ilmu sains dan teknologi Islam ke Barat banyak dimainkan oleh kerajaan Islam yang berpusat di Sicily (pulau berhampiran Italy) dan Andalusia (Sepanyol). Melalui Andalus dan Sicily hampir keseluruhan hasil karya klasik Greek/Yunani sampai ke tangan orang Eropah melalui teks yang telah diterjemahkan ke bahasa Arab oleh sarjana-sarjana Islam Andalus. Justeru itu, sumbangan sarjana Islam dalam kelahiran tamadun Barat amatlah besar. Hampir keseluruhan ilmu yang berkembang di Eropah/Barat pada waktu itu mempunyai pengaruh kesarjanaan Islam. Pengaliran ilmu sains dan teknologi dari tamadun Islam terutama melalui medium Sicily dan Andalus telah dimangkinkan dengan kemunculan penterjemah-penterjemah masyarakat Barat Kristian sendiri yang aktif melakukan penterjemahan karya-karya ulama Islam ke dalam bahasa Latin. Antaranya Adelard dari Bath, seorang sarjana ulung Inggeris (1090-1159) yang lahir sebelum zaman Roger Bacon. Beliau telah menterjemahkan buku aritmetik karya al-Khawarizmi ke bahasa Latin.


  • Matematik
        Ramai penuntut Eropah yang datang mengajar di Andalus. Penuntut-penuntut ini telah muncul sebagai pakar dalam bidang tersebut termasuklah Adalard dan Morley dari Britain. Adalard telah menterjemah karya Al-Khawarizmi yang menulis tentang teori geometri dalam matematik dan saintifik. Beliau telah menggunakan nombor-nombor Arab dalam terjemahannya. 

          Seterusnya Gelbert of Aurillac juga salah seorang pakar yang mempelajari Ilmu matematik dan astronomi yang pada ketika itu masih dilarang di Eropah. Beliaulah yang memperkenalkan bentuk angka Arab Andalus yang dikenali dengan Huruf Al-Ghubbar ke Eropah.

  • Zoologi & Botani

        Saintis yang ternama dalam bidang ini adalah Ibn Baytar yang dilahirkan di Malaga pada tahun 1197 M. Beliau telah menjadi seorang pengkaji ilmu tumbuh-tumbuhan yang terbaik sekali. Beliau telah belajar daripada buku-buku, pemerhatian-pemerhatian dan eksperimen-eksperimennya sendiri. Ibn Baytar juga telah membincangkan tentang dadah di dalam makanan dan cara ianya dibuat daripada bahan-bahan binatang, tumbuh-tumbuhan dan mineral. Beliau juga telah mengembara dan mendaki gunung-gunung serta ladang-ladang di seluruh Andalusia dan Afrika untuk mencari herba-herba perubatan


          Antara tokoh lain yang terlibat dalam bidang ini adalah Ibn Bassal atau nama penuhnya Abu Abdullah Muhammad Ibrahim bin Bassal yang merupakan ahli botani yang terkenal di Andalusia. Beliau telah menghasilkan karya yang baik mengenai Botani iaitu ”Kitab Al-Qasd wa al-Bayan”. Karya beliau telah digunakan dengan meluasnya oleh penulis-penulis kemudian. Seorang lagi ahli botani yang terkenal lahir di Seville pada abad ke 12M iaitu Abu Zakaria Yahya yang terkenal dengan penggilan Ibn Hawwam. Beliau menghasilkan sebuah ensiklopedia penting mengenai pertanian yang bertajuk ”Kitab al-Falahah”

  • Astronomi
           Terdapat beberapa karya karangan Abi ma’syar dan juga Khawarizmi telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Adalard of Bath dan John of Seville. Ini telah dibuktikan dengan beberapa istilah yang dipinjam daripada bahasa Arab untuk kajian mereka. 

            Istilahnya ialah perkataan “Al-Sumut”, Alderan, Alidade, Almanac, Altair, Azimuth, Betelgeuse, Deneb, Nadir, Zenith dan “Nadil”.

  • Kimia
         Sumbangan sarjana Islam juga tidak kurang pentingnya dalam membincangkan tentang ilmu kimia. Mereka telah berjaya memperbaiki pengetahuan kimia orang Greek. Abbas bin Firnas telah berjaya menghasilkan kaca dan kristal. Beliau juga telah membuat percubaan untuk menghasilkan guruh dan kilat di dalam makmalnya. Beliau juga merupakan orang pertama membuat eksperimen terbang di angkasa dengan menggunakan sayap.


        Seorang lagi tokoh iaitu Jabir yang juga dikenali di Barat sebagai Geber, ialah seorang ahli kimia ulung Andalusia yang berasal dari Seville. Beliau telah berjaya menemui asid sulfurik, asid nitrik dan asid nitro muriatik. Di samping itu, beliau juga banyak mencipta kaedah proses-proses kimia. Ahli-ahli kimia moden memuji ahli kimia Islam abad pertengahan ini kerana pengetahuan mereka yang mendalam di dalam bidang berkenaan. Mereka mendapati ahli-ahli kimia Islam telah menggunakan proses kimia di dalam melakukan kerja-kerja penulenan, pemejalwapan dan penukaran logam menjadi oksida dengan cara pembakaran.


         Selain itu, sarjana Andalusia juga telah berjaya mencipta sejenis alat yang di panggil alambique untuk mengeksploitasikan pokok-pokok yang hidup di hutan untuk mendapatkan susu getahnya. Kejayaan sarjana-sarjana Andalusia dalam bidang kimia juga telah menghasilkan ciptaan dalam pelbagai jenis dadah yang baru, di samping mereka menghasilkan farmakopi dan menubuhkan kedai-kedai apotekaris.




          Secara keseluruhannya, Andalusia memang masyhur dengan karya-karya tentang tumbuh-tumbuhan pada kurun ke-11M. Pada kurun ke 12M pula, karangan dasar tentang botani telah ditulis dengan meluasnya, bermula dengan Ibn Sarabi. Kemudian telah muncul pula sebuah lagi karangan mengenai tumbuh-tumbuhan yang begitu berharga. Walaubagaimanapun, ahli-ahli sarjana Islam bukan hanya menyumbangkan hasil karya sahaja bahkan mereka turut menyumbangkan hasil intelektual mereka dalam sistem pertanian, pengairan, pembajaan, penanaman, pengenalan pokok buah-buahan, dan tumbuh-tumbuhan yang dibawa dari timur, pencantuman tunas-tunas pokok dan penyakit-penyakit pokok serta cara-cara mengubatinya. 


Comments

Popular Posts